TINDAKAN seorang lelaki berkelakuan aneh mencuri seluar dalam wanita dan lelaki di PPR Intan Baiduri,Kuala Lumpur baru-baru ini mengundang persoalan orang ramai.
Dalam video dimuat naik di halaman Facebook Warga Wilayah memaparkan seorang lelaki 'kantoi' mencuri seluar dalam di ampaian yang diletakkan di laluan pejalan kaki di hadapan sebuah rumah.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 31 saat itu yang tular sejak Khamis, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 3.30 petang 4 Disember lalu.
Dalam video tersebut, kelihatan lelaki berkenaan mendekati ampaian kain sebanyak dua kali sebelum mengambil beberapa helai seluar dalam yang disangkut di ampaian berkenaan.
Setelah dapat apa yang dikehendaki, lelaki itu segera beredar dari tempat berkenaan tanpa menyedari ada kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang sedang merakam aksinya itu.
Menjengah ke ruangan komen, segelintir warga maya yang melihat video meninggalkan reaksi yang berbeza memandangkan mereka mengkritik tindakan pemilik rumah yang menyidai pakaian dalam di tempat yang terbuka.
Seorang pengguna, Nurul Ikma Md Ali menasihati pemilik pakaian dalam berkenaan agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.
"Baju dalam dan seluar dalam tak payah sidai di luar rumah, bahaya kerana macam-macam orang boleh buat dengan benda itu," katanya.
Ainol Aliza turut bersetuju dengan pendapat Nurul.
"Rumah macam ini kalau elok pakaian dalam sidai lah dalam rumah. Kita rumah taman ni pun sidai dalam rumah tak berani nak tinggalkan walaupun rumah berpagar tinggi, malu lah kalau orang ternampak. Tak kira lah pakaian dalam perempuan ke lelaki. Video ini buat peringatan," tulisnya.
Manakala Azhar Aisa pula berkata, zaman sekarang semua sudah tidak selamat walaupun ada CCTV.
"Penyamun spender pun dah ada, zaman ini tak ada yang selamat. Tak tau dia buat apa dengan benda itu semua,sama ada buat collection, fetish atau yang paling teruk buat benda syirik.
"Kaum wanita terutamanya, jangan sidai benda private kat luar bahaya dan yang lelaki pun tidak terkecuali zaman sekarang. Apa-apa pun tak mustahil," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram