PENDUDUK kampung gempar apabila kawanan gajah liar memasuki sebuah penempatan di Pusat Perhutanan Luasong di Tawau, Sabah pada Khamis.
Rakaman kejadian itu dikongsikan di laman Twitter @nanmanjoi8715 memaparkan sebilangan gajah liar 'berjalan-jalan' di sekitar kawasan rumah penduduk kampung.
Sebahagian penghuni yang menyedari kejadian itu cuba menghalau gajah liar berkenaan dengan menjerit ke arah haiwan tersebut.
Dalam rakaman itu turut kelihatan seekor gajah besar menggunakan belalainya menolak sebuah motosikal yang diparkir di kawasan rumah berkenaan.
Namun, penghuni di situ bernasib baik kerana kawanan gajah liar tersebut tidak menyerang sebaliknya hanya dilihat menyepak motor berkenaan.
Memetik laporan Deasoka, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau Primus Lambut menerima aduan tersebut kira-kira pukul 9 pagi.
Seramai lima orang kakitangan JHL dihantar ke lokasi berkenaan bagi membuat pemantauan.
"Difahamkan kawanan gajah itu dianggarkan hampir 30 ekor dan berdasarkan maklumat kakitangan JHL Tawau di lapangan, ketika ini kawanan gajah itu masih berada berhampiran kawasan kampung berkenaan," katanya.
“Pasukan JHL Tawau dengan dibantu kakitangan Yayasan Sabah kini memantau pergerakan kawanan gajah bagi mengiring kawanan itu ke kawasan yang lebih jauh dari perkampungan,” jelasnya lagi.
Setakat ini tiada kerosakan lain yang dilaporkan selain daripada motosikal yang dijatuhkan oleh kawanan gajah tersebut.-Deasoka
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pelbagai respon terhadap situasi berkenaan.
Seorang pengguna Twitter, Zynen merasakan aksi gajah tersebut menggelikan hatinya.
"Dia dendam denganmotor tu, habis diligannya," tulisnya dengan menunjukkan emoji ketawa.
Sementara itu, Navi membuat lawak dengan mengatakan kawanan gajah tersebut sedang membuat lawatan sekolah.
"Mereka buat rombongan sekolah, jangan kacau, tengah belajar macam-macam perkara," katanya.
Seorang lagi pengguna, Manisa merasakan situasi tersebut bahaya dan risau dengan keadaan penduduk kampung di sana.
"Ya Allah, bahayanya kalau gajah-gajah itu mengamuk atau berada di luar kawalan, semoga penduduk kampung tak apa-apa," tulisnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram