PENANTIAN pemilik kedai dan gerai sekitar Kepong Industrial Park, Kepong, Selangor untuk mendapatkan hak strata daripada Pusat Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) bakal menemui penghujungnya.
Penasihat Persatuan Pemilik Kedai Kepong Industrial Park, Yee Poh Ping berkata, perkara itu diumumkan September lalu selepas bertahun-tahun hal tersebut dibincangkan.
Tambahnya, dalam memperolehi dokumen yang diperlukan, kesemua 600 pengusaha tidak akan menerima bayaran daripada pengusaha kawasan, Sumana Jaya Sdn Bhd yang bernilai melebihi RM1 juta.
"Kami sudah berusaha untuk menyelesaikan isu ini sejak kira-kira 15 tahun lalu hanya bagi mendapatkan hak strata daripada kerajaan negeri.
"Sepatutnya, kerajaan perlu melindungi hak pemilik kawasan dan kedai yang mana hak mereka sudah tidak dilindungi lebih daripada 30 tahun lalu di negara ini," katanya.
Jelas Yee, tuntutan hak tersebut tidak akan menjadi terlalu rumit sekiranya pihak berkuasa meniliti undang-undang serta peraturan yang ditetapkan sebelum ini.
Persatuan Pemilik Kedai Kepong Industrial Park, Chan Sai Kow berkata, dia memperolehi salah satu lot kedai yang sebelum ini berada di bawah pemilik lain.
Tegas Chan, isu strata pemilikan sering membebankannya sejak dia memiliki hartanah itu sejak 20 tahun yang lalu.
"Masih terdapat pelbagai proses yang perlu kami lalui sebelum membolehkan kami memperolehi hak strata itu dan Yee banyak membantu peniaga untuk menyelesaikan perkara-perkara rumit.
"Saya mewakili persatuan pemilik kedai berharap kesemua perkara itu akan berjalan lancar dan semua pemilik lot kedai akan mendapat hak strata mereka," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram