[VIDEO] Pemborong sayur di Parit Buntar merayu minta nyawa, terbaring berlumuran darah akibat ditetak


  • Tular
  • Isnin, 28 Nov 2022

Mangsa dilihat hanya mampu terbaring menahan kesakitan selepas ditetak.

SEORANG lelaki dipercayai pemborong sayur cedera ditetak sekumpulan lelaki di pasar awam Parit Buntar, Kerian, Perak pada Ahad.

Mangsa difahamkan mengalami kecederaan parah di kedua-dua tangan selepas ditetak menggunakan senjata tajam.

Menerusi satu rakaman video tular yang dikongsikan melalui aplikasi Telegram Komuniti Info Semasa sejak awal pagi Isnin, lelaki itu kelihatan terbaring dengan berlumuran darah.

Mangsa kelihatan lemah dan tidak bermaya ketika videonya dirakam orang awam yang berada di tempat kejadian.

"Tiada apa-apa. Relaks, tangan saja berdarah. You kena bercakap, cakap saja. Nanti you pengsan. Cakap je cakap,"

"Darah ada keluar lagi tak? Ada kain tak? Balut (luka)," kata perakam itu kepada individu lain yang berada di tempat kejadian.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu juga, mangsa dilihat terbaring menahan kesakitan dan cuba memberi respon kepada perakam berkenaan.

Namun, tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian itu berlaku dan setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram