Bangla tipu Bangla, 3 'bhaiya' kena cekup keluar permit kerja palsu di Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 01 Dis 2022

Antara peralatan yang dirampas, dipercayai digunakan warga Bangladesh terbabit untuk menghasilkan permit kerja palsu menerusi serbuan pada Rabu. — Bernama

POLIS menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam, Selangor kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penahanan dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun dibuat menerusi satu serbuan pada pukul 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor pada Selasa lepas.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie, Shah Alam serta didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober.

"Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal berkata, hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

Katanya, susulan penangkapan dua suspek terbabit, seorang lagi suspek warga Bangladesh berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Rabu dan dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

Beliau berkata, dua suspek pertama telah direman hingga 3 Disember manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah pada Khamis untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram