SEORANG kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi rakannya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar Changlun di Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu, Alor Setar, Kedah pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang Selasa.
Menurut laporan, mangsa berusia 11 tahun meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
"Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan berhubung kejadian tiang elektrik terjatuh dan telah menghempap kanak-kanak. Ketiga-tiga mangsa dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di bahagian tepi jalan sebelum tiang berkenaan jatuh dan menghempap mangsa.
"Sebaik anggota bomba tiba, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut. Dua mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Jitra manakala mangsa yang meninggal diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kesemua mangsa berusia antara 10 dan 11 tahun.
"Mangsa yang maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan di paha dan pinggang dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram