SEKUMPULAN pelajar sekolah agama trauma selepas seorang anggota polis mengugut dan mengacukan pistol di kepala mereka baru-baru ini.
Difahamkan kejadian yang berlaku di Sekolah berasrama Imam Az-Zuhri di Jalan Veteran Bakung Samata, Kabupaten Gowa, Indonesia terjadi ekoran daripada anggota polis berkenaan menuduh pelajar tersebut melempar batu ke dalam rumahnya.
Menurut pengetua sekolah, Ustaz Zuhuri, pada waktu kejadian, suspek yang hanya dikenali Briptu AH tiba-tiba datang ke sekolah terbabit dalam keadaan emosi dan marah.
"Dia (suspek) menjerit-jerit ambil menggoncang pintu asrama pada lewat malam tersebut.
"Salah seorang pelajar kami, Musawwir adalah orang pertama yang keluar untuk membuka pintu dan suspek secara tiba-tiba mengacukan hospital pada Musawwir.
"Antara pelajar lain yang turut diacukan pistol ialah Rifki, Aan, dan Farhan. Selain itu, suspek turut bertindak kasar dengan menarik baju pelajar dan menolak mereka ke dinding," katanya.
Namun, tambah Ustaz Zuhuri tuduhan suspek adalah tidak berasas dan selepas memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumah suspek, pelajar terbabit tidak terlibat dengan kejadian tersebut.
"Pelajar saya adalah mangsa keadaan dan orang yang melempar batu ke rumah suspek itu merupakan orang lain berdasarkan rakaman itu.
"Pelajar-pelajar ini berada dalam keadaan yang trauma dan mereka juga sukar tidur malam serta selalu mimpi ngeri," katanya.
Setakat berita ini ditulis, pihak sekolah dan ibu bapa pelajar berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung dengan insiden tersebut.
Suspek kini digantung tugas dan pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram