Pemimpin BN, GPS bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri


  • Primer
  • Khamis, 24 Nov 2022

Anwar ketika hadir istiadat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara pada Khamis. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada pemimpin daripada blok Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk komponen kerajaan perpaduan di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan perpaduan nasional dengan penyertaan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok terbesar di Parlimen diikuti BN dan GPS.

"Jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada komponen yang lain... yang kedua terbesar adalah BN manakala Sabah dan Sarawak, (parti) terkuat daripada GPS.

"Kita akan pertimbangkan...saya akan maklumkan bila saya sudah buat keputusan'," katanya dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Perdana Menteri di Sungai Long Club House, Kajang pada Khamis.

Sementara itu, ketika ditanya adakah kluster mahkamah akan diberikan jawatan dalam Kabinet, beliau memerlukan masa untuk membincangkan perkara tersebut.

“Pendirian PH jelas tetapi oleh kerana ini adalah kerajaan perpaduan maka, kita akan berbincang dengan yang lain.

“Bagi ruang untuk kita berbincang,” katanya sambil memberitahu, sidang Parlimen akan diadakan pada 19 Disember depan.

Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya. sedia menerima penyertaan parti lain dalam kerajaan perpaduan, termasuk Perikatan Nasional (PN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram