Panggilan Erdogan dan sidang media pertama PM10


  • Politik
  • Khamis, 24 Nov 2022

Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada Erdogan.

TUMPUAN jutaan rakyat Malaysia untuk mengikuti sidang media pertama Perdana Menteri ke-10 negara terganggu seketika apabila menerima panggilan telefon Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan.

Panggilan jauh itu diterima sejurus sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan sidang media yang di Sungai Long Club House, Kajang, Selangor.

Kedua-dua pemimpin yang sememangnya diketahui mempunyai hubungan rapat meneruskan perbualan selama hampir 10 minit sebelum Anwar memulakan sesi pertamanya bersama media dalam dan luar negara.

Pada 2018, Anwar pernah menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu di Medipol Mega University Hospital di Istanbul selepas dibebaskan dari penjara.

Bukan sahaja Erdogan, malahan menurut Anwar, ucapan tahniah turut diterima daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Presiden Indonesia, Joko Widodo, selain berterima kasih dengan kenyataan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berhubung pelantikan beliau.

"Perubahan ini dinanti-nantikan rakyat tapi ia bukan untuk sosok seorang Perdana Menteri dan kepimpinan baharu tetapi untuk meletakkan harapan baharu kepada rakyat Malaysia.

"Ia juga untuk menaikkan martabat rakyat, membela nasib rakyat tanpa mengira kaum yang mempunyai harapan kepada pemerintah," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan hasrat untuk menaikkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengangkat kedudukan penghayatan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kedudukan hak orang Melayu dan Bumiputera serta adanya keperluan menetapkan kedudukan, kemuliaan Raja-Raja Melayu dan saya mahu pastikan ia bukan hanya slogan enteng," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram