PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, yang ditangguhkan pengundiannya sebelum ini berikutan kematian seorang calon, menyaksikan pertembungan enam penjuru selepas proses penamaan tamat pukul 10 pagi Khamis.
Saingan itu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).
Dua lagi pencabar adalah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon Bebas Sreanandha Rao.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.45 pagi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah pada Khamis.
Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom.
Mohamad Sofee, yang baru diumumkan pada Rabu sebagai calon PH tiba di Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 8.30 pagi Khamis, manakala semua calon lain yang telah sah dinamakan pada 5 November lepas turut hadir bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.
Bagaimanapun, calon Warisan tidak hadir bagi proses cabutan undi itu dan ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk bertanding memandangkan pencalonan beliau telah disahkan sebelum ini.
Proses penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.
Mohamad Sofee, 47, yang juga seorang peguam menggantikan calon PH sebelum ini, M. Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.
Setiausaha PH Kedah itu sebelum ini juga pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada Pilihan Raya Umum ke-14.
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian Karupaiya.
Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.
Sementara itu, DUN Tioman pula bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang Bebas.
Calon wanita tunggal, Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Pegawai Pengurus pilihan raya, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 10.50 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang ditutup pada pukul 10 pagi.
"Kita menerima kertas pencalonan baharu daripada seorang calon pada hari ini, manakala calon yang telah disahkan pencalonan pada 5 November lepas tidak perlu menghantar kertas pencalonan mereka pada Khamis.
"Setelah selesai kertas-kertas pencalonan disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yaang ditolak kertas pencalonannya," katanya.
Hanya Nor Idayu hadir bagi mengemukakan kertas pencalonan manakala calon lain hadir untuk proses undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi pada Khamis.
Bagaimanapun, calon PH hanya diwakili wakilnya, Manan Mohamad dalam proses itu kerana difahamkan beliau berada di ibu negara.
Cuaca cerah di pusat penamaan pada Khamis, membolehkan ratusan penyokong PN dan BN berkumpul di luar pagar pusat penamaan sebagai tanda sokongan kepada calon mereka manakala tiga lagi calon yang bertanding tidak membawa penyokong.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Sehubungan itu, SPR menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.
Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada pilihan raya umum ke-14, Mohd Johari menang dengan majoriti 1,280 undi menewaskan Md Yunus yang memperoleh 5,382 undi, calon PKR Sazili Mohd Nor (3,029 undi) manakala calon Bebas Imam Zul hilang deposit selepas hanya mendapat 58 undi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram