Agong titah 30 Ahli Parlimen BN menghadap, bantu proses pilih PM10


  • Primer
  • Selasa, 22 Nov 2022

Seramai 30 Ahli Parlimen BN akan menghadap Agong di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi, Rabu. — Bernama

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah 30 Ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap baginda secara individu di Istana Negara bermula 10.30 pagi, Rabu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, sesi menghadap Ahli Dewan Rakyat BN itu bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan berhubung lantikan Perdana Menteri ke-10.

"Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

"Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan Istana Negara pada Selasa.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru dan menasihat seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

Baginda juga mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram