Tambah lagi 24 jam, Agong perkenan lanjut tempoh serah SD sehingga 2 petang Selasa


  • Primer
  • Isnin, 21 Nov 2022

Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik menyerahkan calon Perdana Menteri pada Selasa. — Bernama

ISTANA Negara berkenaan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang, Selasa.

Titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik diterima oleh pihak Istana Negara pada Isnin.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau 'Caretaker Prime Ministe'.

"Ia berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) memohon tempoh penyerahan surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong dilanjutkan bagi membolehkan rundingan bersama gabungan lain diadakan.

Gabungan itu diketuai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram