Dah cuba yang terbaik, tapi tak cukup bagus — KJ


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Khairy memuat naik gambarnya dalam keadaan duduk bersandar di sebuah kerusi di Instagram pada Ahad.

"SAYA dah cuba yang terbaik, tapi tak cukup bagus."

Demikian luahan Khairy Jamaluddin bersama sekeping gambar yang dimuatnaik di akaun Instagram rasminya memaparkan dirinya duduk bersandar di sebuah kerusi sambil ditemani seekor kucing pada Ahad.

Menerusi hantaran itu, Khairy menegaskan bahawa kekalahan tetap satu kekalahan walaupun dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan (kerana kekalahan).

"Salah satu perkara yang paling menyedihkan apabila ahli politik dinilai secara terbuka setiap lima tahun.

"Pilihan Raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi tetapi juga petunjuk kepada ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika orang suka mereka atau tidak.

"Itu adalah peraturannya yang perlu diterima apabila orang berfikir anda tidak cukup baik untuk mereka.

"Adakah ini pengakhirannya? Saya pasti tidak namun mahu merenung perkara ini sebelum memikirkan apa yang akan lakukan seterusnya," tulisnya.

Khairy mengakui dia sebenarnya letih kerana tidak mempunyai masa untuk berehat sejak diminta menggalas tanggungjawab menguruskan wabak Covid-19.

"Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada Covid-19 tetapi ia adalah satu keistimewaan yang besar untuk berkhidmat pada masa yang kritikal.

"Saya gembira Malaysia sudah pulih lebih banyak daripada negara yang lain," katanya.

Dalam hantaran sama, Khairy turut menyatakan harapannya untuk parti atau calon dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan penuh semangat dan bertanggungjawab kerana negara memerlukan kestabilan serta kepimpinan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

"Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Saya menantikan (untuk menonton) Piala Dunia di televisyen," tulisnya.

Untuk rekod, Khairy adalah penyandang Parlimen Rembau untuk tiga penggal sebelum ditempatkan di kerusi Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Sabtu.

Bagaimanapun, Khairy Tewas kepada Datuk R. Ramanan yang meraih kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.

R. Ramanan menang di kerusi itu dengan 50,943 undi, manakala Khairy (48,250 undi) menjadikan majoriti 2,693 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram