Gelombang PN di Kedah 'hanyutkan' veteran BN


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Jamil Khir hanya meraih sebanyak 747 undi Parlimen Jerai

PERIKATAN Nasional (PN) berjaya menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila difahamkan memenangi 13 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan berdasarkan kenyataan laman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Percaturan parti-parti lawan untuk merampas negeri itu dilihat gagal meskipun meletakkan wajah-wajah berpengaruh.

Bagaimanapun, calon BN seperti Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom yang membuat kemunculan semula dilihat gagal menambat hati warga Parlimen Jerai apabila hanya meraih sebanyak 16,269 undi berdasarkan keputusan rasmi.

Penyandang kerusi berkenaan, Ustaz Sabri Azit berjaya mengekalkan kawasannya apabila kali ini beliau meraih 49,461 undi.

Parlimen Jerai menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Jamil Khir, Sabri Azit, Zulhazmi (PH), dan Datuk Nizam Mahshar dari Pejuang.

Selain itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal mempertahankan kawasannya, Parlimen Padang Terap apabila menyaksikan Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid memenangi kerusi itu secara rasmi.

Calon PN itu meraih sebanyak 28,217 undi yang dibezakan sebanyak 10,959 dengan penyandang Parlimen Padang Terap itu.

Pertembungan empat penjuru itu menyaksikan calon muda berusia 25 tahun, Muaz Abdullah (PH) (2,702 undi) dan wakil dari Pejuang, Razali Lebai Salleh sebanyak 452 sahaja.

Dalam pada itu, di Parlimen Baling menyaksikan Hassan Saad menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Hassan memperolehi sebanyak 64,493 undi berbanding Abdul Azeez, 35,356 undi sekali gus merekodkan majoriti 29,137 undi.

Calon PH, Johari Abdullah mendapat 8,636 undi, manakala calon Pejuang, Leftenan Kolonel (B) Basir Abd. Rahman sekadar meraih 579 undi.

Satu-satunya calon wanita di Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim gagal untuk menambat hati rakyat di kerusi berkenaan, sekali gus kemunculannya pada PRU kali ini tidak memberi impak positif kepada BN.

Dr Mashitah yang kali terakhir bertanding Parlimen pada 2004 di Baling itu tidak dapat mengulang kejayaannya itu dengan hanya meraih sebanyak 13,879 undi.

Bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mewakili PN memenangi 56,298 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram