[VIDEO] Stres bunyi hon kereta, sekawan lebah mengganas sengat hampir 40 orang sampai masuk hospital


  • Benua
  • Ahad, 20 Nov 2022

Penternak lebah menyembur asap sebelum mengeluarkan sarang di sebuah kediaman. — Agensi

HAMPIR 40 orang dimasukkan ke hospital di sebuah bandar di Uruguay selepas diserang kawanan lebah, lapor MailOnline pada Khamis.

Ketika kejadian, sebilangan penduduk tempatan terpaksa berlari keluar meninggalkan kenderaan mereka di tengah jalan dan melarikan diri selepas kawanan lebah itu memasuki kereta melalui tingkap yang terbuka.

Insiden itu dilaporkan berlaku petang Khamis di tengah bandar Melo, Uruguay.

Polis mengesahkan bahawa 37 orang termasuk lapan kanak-kanak dikejarkan he hospital untuk menerima rawatan.

Polis terpaksa membawa mangsa yang disengat dengan menaiki kereta peronda ke hospital ketika anggota lain menutup jalan di tengah bandar untuk memastikan tiada penduduk lain memasuki kawasan itu.

Salah seorang daripada mangsa memberitahu akhbar tempatan: “Anak saya berlari seperti orang gila tetapi dia disengat kira-kira 15 kali.

“Ramai orang berada dalam keadaan terdesak. Mereka meninggalkan motosikal dan kereta. Saya turunkan tingkap kereta sebelum sekawan lebah muncul entah dari mana dan masuk menyerang kami,” katanya.

Kejadian itu berpunca daripada dua sarang lebah yang disimpan tanpa kebenaran di sebuah rumah berhampiran, tempat yang mana pemandu dan pejalan kaki disengat.

Penternak lebah dengan pakaian pelindung dipanggil untuk mengeluarkan sarang menggunakan racun dalam operasi yang mengambil masa hampir sejam.

Tidak jelas mengapa lebah itu menyerang orang awam, tetapi pakar berkata, ia mungkin tertekan disebabkan bunyi hon kereta. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Serangan Lebah, Melo, Uruguay, 40 Orang, Hospital