Radzi Jidin hambat Ku Nan di Putrajaya


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Radzi memberi saingan sengit kepada Ku Nan di Parlimen Putrajaya. — Bernama

CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin mencipta kejutan di Parlimen Putrajaya selepas mendahului undi dengan majoriti 2,310 undi.

Berdasarkan keputusan rasmi SPR, Menteri Kanan Pendidikan itu mendapat 16,002 undi berbanding penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Barisan Nasional (BN) dengan 13,692 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz mendapat 5,988 undi manakala calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli mendapat 878 undi sekali gus hilang deposit.

Turut hilang deposit ialah dua calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 63 undi dan Lim Fice Bee pula 20 undi.

Putrajaya sebelum ini dipegang oleh Tengku Adnan selama empat penggal berturut-turut sejak 18 tahun yang lalu.

Di Labuan, bekas Ketua Umno Bahagian Labuan yang juga calon PN, Datuk Suhaili Abd Rahman menang dengan majoriti tipis 708 undi.

Bekas Ahli Parlimen Labuan dari tahun 1999 hingga 2008 itu menewaskan calon BN, Datuk Bashir Alias dengan 7,416 undi.

Manakala penyandang kerusi Parlimen Labuan yang juga calon Warisan Datuk Rozman Isli pula hanya mendapat 7,310 undi.

Sementara calon PH, Dr Ramli Tahir hanya mendapat 5,307 undi; Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) Dayang Rusimah hanya mendapat 202 undi selain Ramle Mat Daly, 90 undi.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram