Sah Amirudin 'kalahkan' sifu Azmin di Gombak, Rafizi menang selesa di Pandan


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Azmin (kiri) menghadapi saingan daripada anak didiknya, Amirudin di Parlimen Gombak pada PRU15. — Bernama

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencipta kejutan selepas menewaskan sifunya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi yang menjadi kubu kuat Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

Amirudin yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 12,729 undi dan meraih 72,267 undi secara keseluruhan.

Mohamed Azmin yang berdepan saingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pula hanya memperoleh 59,538 undi.

Kedua-dua calon heavyweight itu dicabar calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (30,723), Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir (Gerakan Tanah Air) (2,223) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad (675).

Di Pandan, Rafizi Ramli yang kembali bertanding di kerusi itu pada PRU15 turut menang selesa dengan majoriti 48,296.

Rafizi yang meraih 74,002 undi menewaskan pencabarnya, Muhammad Farique Zubir Albakri (Perikatan Nasional) yang mendapat 25,706 undi diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee (11,664 undi).

Sementara itu, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Tan Sri Ong Tee Keat dan Gerakan Tanah Air, Nadia Hanafiah pula sekadar mendapat 3,323 undi dan 961 undi.

Rafizi merupakan penyandang Parlimen Pandan selepas meraih 48,183 undi pada PRU13.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Pandan dimenangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 64,733 undi sekali gus mengenepikan empat calon lain.

Selain Rafizi, Tee Keat juga pernah menyandang kerusi Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013

Untuk rekod, pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU15 ialah 206,744. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram