MENJELANG tarikh mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, aktiviti berkempen oleh calon yang bertanding makin giat dijalankan.
Sokongan di saat akhir amat diperlukan dan ketika inilah, calon-calon akan berjanji untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi rakyat terutama di kawasan mereka bertanding.
Namun bagi penduduk di Puncak Alam, Selangor, permintaan sejak PRU13 pada 2013 masih ditagih hingga kini.
Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, prasarana yang tidak mencukupi sudah dibangkitkan setiap kali PRU diadakan.
"Ketiadaan prasarana yang mencukupi seperti balai polis, bank, kemudahan sukan, pasar dan lain-lain memang tiada di Puncak Alam sedangkan kita dah minta perkara ini sejak PRU13.
"Setiap kali PRU kita akan minta tetapi hanya janji sahaja. Perkara ini berulang kali sehinggalah kini," katanya kepada Majoriti.
Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan.
Menurut Mohd Hanif, Puncak Alam adalah kawasan yang sangat pesat membangun dengan jumlah penduduk terkini lebih 150,000 orang.
Tetapi katanya, prasarana yang ada tidak sepadan dengan jumlah penduduk.
"Malah, klinik kesihatan untuk ibu mengandung pun tiada. Kalau ada pun di luar Puncak Alam yang memakan masa lebih 30 minit," katanya.
Jelasnya lagi, penduduk Puncak Alam tidak kisah siapa calon yang akan menang tetapi apa yang penting ialah masalah mereka dapat diselesaikan.
Tambahnya, harapan mereka adalah supaya bakal Ahli Parlimen dapat melakukan tugas dengan sebaiknya dan tidak mensia-siakan peluang lima tahun yang diberikan oleh pengundi.
Empat calon yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor (dari kiri) Mohd Noor, Dzulkefly, Mohd Shaid dan Tengku Zafrul.
Untuk rekod, Puncak Alam yang berada di bawah Parlimen Kuala Selangor bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Barisan Nasional).
Dua lagi yang turut bertanding ialah Mohd Shaid Rosli (Pejuang) dan Mohd Noor Mohd Sahar (Perikatan Nasional). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram