WALAUPUN doktor menasihati untuk berehat, Tan Sri Lim Ah Lek tetap bertegas untuk pergi ke Karak demi berjumpa rakan lamanya yang kini dalam usaha untuk 'merampas' semula kawasan Bentong.
Pemimpin veteran yang dihormati itu tidak akan membiarkan arahan doktornya menghalang beliau mengharungi perjalanan dari ke Kuala Lumpur ke Karak, Pahang bagi menyokong anak didiknya, Tan Sri Liow Tiong Lai.
"Doktor saya menasihatkan untuk tidak datang, tetapi saya tetap mahu pergi ke Karak," kata bekas timbalan presiden MCA itu.
Ah Lek hadir pada ceramah Tiong Lai yang diadakan di sebuah tokong di Karak pada hujung minggu, ia juga dihadiri oleh seorang lagi rakan politk veteran, Tan Sri Chan Kong Choy.
Bekas ahli Parlimen Bentong yang berusia 80 tahun itu berkata, beliau perlu memberikan sokongannya kepada Tiong Lai kerana keupayaan dan rekod prestasi calon Barisan Nasional itu untuk berkhidmat kepada pengundinya.
Tiong Lai, 61,merupakan bekas presiden MCA adalah Ahli Parlimen Bentong selama empat penggal (1999 hingga 2018) dan kalah pada PRU14.
“Tiong Lai telah membantu penduduk di Bentong dan mangsa kebakaran Karak walaupun tidak memegang sebarang jawatan sejak empat tahun lalu,” kata Ah Lek, yang merupakan Ahli Parlimen Bentong dari 1989 hingga 1999.
Tokoh politik itu amat mengenali penggantinya dengan baik kerana Tiong Lai pernah bekerja dengannya sebagai setiausaha akhbar dan setiausaha politiknya.
Malah sebelum ini, Ah Lek merupakan individu yang melihat potensi pada Tiong Lai dan berjaya memujuk bekas ketua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia itu untuk menyertai politik.
Anak didiknya itu tidak mengecewakannya dan berjaya menerajui MCA dari 2013 hingga 2018.
Ah Lek berbangga dengan usaha yang dilakukan Tiong Lai termasuklah menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh calon Parlimen Bentong itu sendiri.
Petugas khas itu ditubuhkan untuk membantu mangsa kebakaran rumah dia Kampung Baru Karak pada Oktober tahun lepas.
“Saya telah bersara selama 23 tahun. Ini kali pertama saya akan menyatakan perkara ini secara terbuka...mari kita berikan sokongan kepada beliau (Tiong Lai) kali ini,” kata Lim.
Dalam pada itu, Kong Choy yang merupakan penasihat khas pasukan petugas turut memuji dedikasi Tiong Lai dalam membantu mangsa kebakaran.
“Kami bekerjasama dan mengumpulkan semua profesional yang diperlukan untuk membantu mereka membina semula rumah mereka. Malah Yang di-Pertuan Agong turut menziarahi mangsa.
“Tiong Lai bukan lagi ahli Parlimen di sini, namun dia masih berasa bertanggungjawab untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan," kata Kong Choy yang juga merupakan bekas timbalan presiden MCA.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, bahawa beliau belajar dengan baik daripada 'sifu'nya itu.
“Pemimpin saya selalu memberitahu saya, jika anda mempunyai belas kasihan untuk membantu, kemudian menyertai politik, dipilih dan dengan kekuatan politik ini, anda boleh membantu lebih ramai orang, mengubah dasar dan memajukan negara.
“Sebab itu saya di sini pada hari ini dan masih komited, walaupun selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.
“Saya mahu berkhidmat kepada penduduk Bentong,” tambahnya.
Atas semangat itu, Tiong Lai tetap turun membantu mangsa semasa kebakaran di Kampung Baru Karak yang memusnahkan lebih 50 rumah.
Pada bulan lalu, pembinaan 53 rumah baharu di kawasan itu sudah dimulakan dan dijangka siap pada Oktober tahun depan.
PRU15 kali ini menyaksikan Tiong Lai akan berdepan saingan lima calon lain iaitu Young Syefura Othman (Pakatan Harapan), Datuk Roslan Hassan dari Perikatan Nasional dan tiga calon bebas iaitu penyandang Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Mohd Khalil Abdul Hamid. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram