PLUS jangka pertambahan trafik balik mengundi PRU15 cecah 1.9 juta sehari


  • Primer
  • Selasa, 15 Nov 2022

Kenderaan di Lebuhraya PLUS dijangka mengalami pertambahan apabila orang ramai balik mengundi sempena PRU15 hujung minggu ini. — Bernama

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya dari 17 hingga 21 November ini apabila orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa sewaktu merentasi Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berkata, PLUS juga bersedia dari pelbagai sudut operasi lebuh raya bagi menghadapi peningkatan trafik.

“Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 hingga 18 November, kami menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

“Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara pukul 1 petang hingga 4 petang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

WhatsApp Image 2022-11-15 at 17.05.28.

Zakaria berkata, bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 hingga 21 November, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

“Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

"Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa," katanya lagi.

Meskipun demikian, Zakaria berkata, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut.

"Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya,” tambah beliau.

Sementara itu, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 sehingga 21 November 2022 kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

Pada masa sama, PLUS juga menyediakan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terlibat dengan kemalangan untuk melancarkan aliran trafik.

Selain itu, kata Zakaria, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas dan surau serta stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah terpilih beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.

"Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.

“Para pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan yang melanda negara di beberapa lokasi," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am di seluruh Malaysia pada 18 dan 19 November bagi memudahkan rakyat untuk keluar mengundi.

Selain itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian kadar tol percuma di kesemua lebuh raya untuk tempoh sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram