KJ sokong Ismail Sabri jadi Presiden Umno jika kekal PM


  • Politik
  • Selasa, 15 Nov 2022

Khairy (kanan) berasakan Ismail Sabri patut menjadi Presiden Umno jika beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri. — Bernama

KHAIRY Jamaluddin menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilantik sebagai Presiden Umno jika beliau dilantik semula menerajui kepimpinan nombor satu negara.

Menteri Kesihatan sementara itu juga memberi bayangan beliau mungkin akan mengadakan pakatan dengan Naib Presiden Umno itu dalam pemilihan parti akan datang.

Beliau juga memberi bayangan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan terlibat sama dalam pakatan berkenaan.

“Kita akan berbincang apabila tiba masanya. Saya hanya berkata jika Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, kita harus menyokongnya sebagai presiden parti.

"Yang lain adalah untuk Hishammuddin dan saya sendiri mengadakan perbincangan mengenai siapa yang akan tanding jawatan nombor dua (timbalan presiden)," katanya dalam temu bual bersama BFM.

SUNGAI BULOH, 13 Nov -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P.107 Sungai Buloh Khairy Jamaluddin (kiri) dan calon BN bagi Parlimen P.153 Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) ketika hadir pada program Sepetang Bersama Pemimpin: Masyarakat Sungai Buloh bersama KJ dan DSH20 di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Khairy (kiri) memberi bayangan Hishammuddin akan terlibat sama dalam pakatan antaranya dengan Ismail Sabri. — Bernama

Umno menangguhkan pemilihannya kepada enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia akan menyertai Kabinet jika BN menawan Putrajaya, Khairy berkata, "Saya akan menyertai kabinet, ya... saya akan menyertai kabinet Ismail Sabri."

Ditanya pula sama ada dia bersedia menjadi sebahagian daripada Kabinet Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Khairy mengulangi, "Saya akan menyertai kabinet Ismail Sabri kerana dia adalah calon Perdana Menteri kita, bukan orang lain."

Spekulasi mengenai jawatan Perdana Menteri terus menjadi modal pembangkang meskipun Ahmad Zahid mengesahkan bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Pengerusi BN itu berkata, urusan pemilihan Perdana Menteri diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jika parti pimpinannya itu menang dalam PRU15.

Menurutnya, beliau yakin dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram