Salam semua cikgu, petanda pelik budak 9 tahun sebelum lemas mandi sungai di Chukai


  • 112
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Muhammad Aman ditemukan lemas ketika mandi di alur sungai Kampung Batu 9, di Chukai. — Bernama

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kampung Batu 9, di Chukai, Terengganu pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Aman A.Suhimi sedang mandi bersama dua rakannya.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerima panggilan pada 5.37 petang daripada MERS999 memaklumkan berlaku kejadian lemas di Kampung Batu 9 Ibok.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, bapa mangsa, A.Suhimi Salleh, 58, berkata, jenazah anaknya ditemukan pekebun di ladang kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari lokasi anaknya mandi sekitar 5.15 petang.

"Saya tidur lepas solat Zohor. Kira-kira 3 petang, anak saya balik dari sekolah dan terus pergi main air (di alur sungai Kampung Batu 9) dengan kawan-kawan.

"Pagi itu, dia ada sukan di sekolah dan kemudian pada petang, kawannya datang (ke rumah) memberitahu Aman (Muhammad Aman) lemas," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman.

A.Suhimi berkata, anaknya sering mandi di alur sungai tersebut bersama rakan-rakannya namun paras sungai tersebut pada Khamis meningkat kira-kira dua meter susulan hujan.

Dia berkata, Muhammad Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.

"Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok), memang dia suka, di sekolah pun hari ini (Khamis), semua cikgu dia salam," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram