Kes kematian menantu Ahmad Zahid, mahkamah kekal denda RM220,000 terhadap pusat pergigian


Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman denda RM220,000 yang dikenakan terhadap Imperial Dental Specialist Centre.

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Khamis mengekalkan hukuman denda RM220,000 yang dikenakan terhadap Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menjalani rawatan gigi, enam tahun lepas.

Syed Alman Zain ketika itu merupakan menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah, sebulat suara menolak rayuan akhir pusat pakar pergigian itu yang diwakili ahli lembaga pengarah syarikat tersebut, Dr Alice Wong Yen Lin, 50, selaku perayu untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan 2020.

Hanipah dalam penghakimannya berkata, berdasarkan penelitian dan hujah, mahkamah mendapati rayuan yang dikemukakan oleh perayu adalah tidak bermerit.

"Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak terkhilaf berhubung dapatannya ke atas empat rayuan tersebut, maka sabitan berkenaan adalah selamat.

"Kami juga mendapati berdasarkan prinsip hukuman, denda yang dijatuhkan oleh hakim itu adalah tidak terlampau. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dan rayuan perayu ditolak," kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala peguam P. Sreekant dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili pusat pakar pergigian itu.

Pada 14 Disember 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM320,000 terhadap pusat pakar pergigian itu selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, OKS sebagai pemegang lesen didakwa telah gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain dan pusat tersebut sebagai pemegang lesen juga didapati telah gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu 'Daftar Kakitangan'.

Pertuduhan ketiga pula, OKS dituduh telah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan keempat, pusat itu didakwa telah gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Di bawah pertuduhan kelima, OKS didakwa telah gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pergigian itu yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, Kuala Lumpur antara pukul 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016, mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang membawa hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membebaskan pusat pakar pergigian itu daripada pertuduhan kedua manakala mengekalkan empat pertuduhan lain dengan menurunkan hukuman denda kepada RM220,000.

Syed Alman Zain, ketika itu suami kepada Datuk Nurulhidayah, anak sulung Ahmad Zahid, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram