PRASARANA Malaysia Bhd akan mencari penyelesaian segera berkaitan permasalahan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) pada perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, isu utama pada ATC belum dikenal pasti dan berharap dengan bantuan pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Kanada dan Dubai yang dijangka tiba pada Khamis dapat membantu dalam proses baik pulih.
Sambil meminta maaf kepada semua pihak terutama para penumpang atas kesulitan yang dihadapi, Mohd Azharuddin berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
"Kenapa tujuh hari (perkhidmatan digantung)? Kami telah mencari penyelesaian tapi tak jumpa punca dan menunggu pakar dari Kanada...kita memerlukan masa untuk menilai apakah masalah dan mencari puncanya serta menguji tren secara mampan.
"Mereka akan membantu kita mencari penyelesaian mengenai isyarat dan komunikasi antara tren dan pusat kawalan kenderaan. Ini perkara penting supaya kami tahu di mana lokasi tren tersebut demi keselamatan semua pengguna, ia menjadi keutamana penting kami,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Perkhidmatan tren LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula pukul 6 pagi Rabu, selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.
Mohd Azharuddin berkata, sebelum perkhidmatan itu kembali beroperasi pada 16 November, mereka mahu memastikan dapat mengerakkan tren dengan selamat dan secara kekal.
"Kami tak mahu mulakan operasi pagi, petang dihentikan operasi,” katanya.
Ditanya mengenai rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah itu, beliau berkata, Prasarana akan menukar sistem ATC, kerana mereka mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah untuk menaik taraf sistem tersebut dan akan melaksanakannya selepas ini.
"Masalah kali ini adalah sistem dan perisian. Masalah yang kita alami (sebelum ini) adalah berkaitan tren, penyepit brek, tapi itu isu lain. Laluan Kelana Jaya telah beroperasi hampir 25 tahun...ada sistem enjin perlu diganti semua bahagiannya. Sudah tiba masanya... dan kami mempunyai rancangan untuk menggantikannya, namun ia berlaku lebih awal," katanya.
Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan menyediakan sehingga 85 bas di lima laluan sebagai perkhidmatan bas alternatif susulan gangguan operasi LRT itu, dengan jangkaan kekerapan bas sekitar 15 hingga 20 minit. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram