Bas bawa 60 pelajar UPSI terbabas masuk gaung di Tanjung Malim


  • 112
  • Rabu, 09 Nov 2022

Bomba melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa insiden bas UPSI terbabas dalam kejadian pada Rabu. — Ihsan bomba

SEBUAH bas membawa kira-kira 60 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai terbabas sebelum terbalik di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 7 malam.

"Kemalangan melibatkan bas terbabas sendiri selepas Simpang Kota Malim Prima. Siasatan awal mendapati 11 orang penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata, pihaknya ke lokasi kejadian bagi kerja menyelamat.

BBP Tanjung Malim turut dibantu sepasukan bomba dari Balai Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook Naib Canselor UPSI, memaklumkan tiada sebarang kecederaan serius dialami penumpang.

"Seramai 11 orang pelajar mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Slim untuk pemeriksaan lanjut.

"Timbalan Naib Canselor universiti menyantuni pelajar terlibat di Hospital Slim River.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram