SEBUAH video tular di media sosial apabila seorang peniaga dan pelanggannya berperang mulut, dipercayai gara-gara dilarang mencuba pakaian yang dijual di kedai terbabit di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara pada Sabtu.
Video yang dimuat naik pada Sabtu oleh pengguna media sosial, memaparkan peniaga tersebut dan dua orang individu dipercayai pasangan dilihat seakan-akan tidak berpuas hati dengan layanan peniaga terbabit.
Menerusi video terbabit dapat dilihat salah seorang dari pelanggan itu kelihatan mengangkat kakinya untuk menendang peniaga terbabit kerana tidak berpuas hati.
Namun tendangan tersebut tidak mengenai peniaga itu sebaliknya keadaan bertukar lebih kecoh apabila orang ramai mula mengerumuni premis terbabit bagi melihat kejadian itu.
Beberapa individu yang berada di kawasan kejadian cuba meleraikan pergaduhan terbabit sebelum pasangan itu beredar ditemani jeritan 'lelaki dayus' oleh peniaga tersebut.
Berdasarkan video berdurasi satu minit tujuh saat itu, kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mengatakan di pusat beli-belah itu memang tidak dibenarkan untuk mencuba baju sebelum membeli pakaian dan ada juga yang mempertikaikan tindakan pelanggan terbabit.
"Memang dekat situ tak boleh nak cuba baju, kebanyakan customer memang dah tahu, mungkin mereka baru first time datang," kata @ZuraidaZue445.
"Yang datang membeli memang baru datang ke, memang dekat sana beli tak boleh try baju, kelakar tengok," ujar @Imannuraliafatin1.
" Ingat hebat sangat? kalau peniaga itu ambil tindakan, boleh kena saman atau kena tangkap, orang yang naik kaki dekat peniaga itu," jelas @Farrafieyqah.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa mahupun pengurusan premis terbabit setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram