[VIDEO] 'Ini bukan fighter', lelaki terpaksa tahan sabar dipukul 'Hulk' di Kepong


  • Tular
  • Ahad, 06 Nov 2022

Tangkap layar mangsa yang berbaju dilihat tidak membalas sebarang pukulan yang dilontarkan oleh suspek..

GARA-GARA tidak berpuas hati kenderaan dilanggar dari arah belakang selepas memotong barisan, dua orang pemandu terlibat dalam satu insiden pergaduhan dipercayai di Kepong, Selangor pada Sabtu.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan pengguna media sosial, memperlihatkan dua orang lelaki pada awalnya hanya bergaduh mulut sambil menunding jari ke arah dua buah kenderaan yang terlibat iaitu Honda City dan Perodua Viva.

Namun beberapa saat kemudian, salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati lalu membuka baju seperti watak filem adiwira, Hulk dan memulakan pergaduhan.

Ketika kejadian, lelaki yang membuka baju itu menolak dan menumbuk muka mangsa sehingga terjatuh.

Mangsa yang berbaju itu dilihat tidak membalas sebarang pukulan yang dilontarkan oleh suspek walaupun dibelasah teruk.

Beberapa pengguna jalan raya di kawasan itu juga turut melihat dan membantu kedua-dua individu tersebut untuk meleraikan pergaduhan terbabit.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji tindakan mangsa yang bersabar walaupun dipukul berkali-kali oleh suspek.

"Orang yang paling kuat adalah manusia yang mampu menahan kemarahannya," ujar Abu Miqdad.

"Good job kepada lelaki yang kena belasah itu sebab dia sabar, dia tahu kalau dia naik minyak kejap lagi brother itu mesti lunyai," jelas Miles Abdullah.

"Ini bukan fighter tetapi pembuli, hormatilah undang-undang negara dan jangan fikir nak tunjuk kuat," kata Mal Haqem.

Majoriti sudah hubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram