
TUJUH sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan akibat ban pecah di sekitar Pekan Tanjong Karang, Selangor pada Ahad.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan empat hingga 70 tahun itu dipindahkan ke rumah jiran.
"Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.07 pagi.
"Operasi pemindahan kemudiannya dilakukan bermula pukul 5.25 pagi tadi melibatkan sebuah keluarga selepas rumah mereka dinaiki air,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, keadaan kini terkawal dan limpahan air setinggi satu meter pada Ahad di sekitar pekan itu telah surut.
Katanya, pihaknya kini sedang berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk proses pembaikan ban.
"Air menunjukkan tren penurunan bermula pukul 6.13 pagi dan pemantauan oleh bomba masih dilakukan di kawasan sekitar untuk sebarang kemungkinan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram