PENYANDANG Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan Barisan Nasional daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini sah akan terus mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Khamis mengumumkan Shahidan selaku penyandang kerusi Parlimen Arau dipilih sebagai calon PN dengan menggunakan tiket PAS.
"Saya ingin membuat satu pengisytiharan untuk mengemukakan tokoh calon peringkat nasional.
"Calon PN di kerusi yang diperuntukkan untuk PAS, P003 Arau, Perlis ialah Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada Khamis.
Pada majlis itu, Shahidan turut menerima watikah pelantikan daripada Hadi Awang dengan disaksikan Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
Majlis itu turut ditayangkan secara langsung di Facebook rasmi Samsuri pada Khamis.
Shahidan sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan bertanding atas tiket PN.
Ketua Umno Bahagian Arau yang digugurkan daripada bertanding itu berkata, keputusan tersebut dibuat disebabkan beliau melihat PN mampu menyatukan Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam platform sama.
Untuk rekod, Shahidan pertama kali menjadi Ahli Parlimen Arau dari 1986 hingga 1995.
Beliau kemudian berkhidmat dengan Umno dalam portfolio lain dan kembali pada 2013 untuk menjadi Ahli Parlimen kawasan itu semula dari 2013 sehingga Parlimen dibubarkan baru-baru ini.
Menteri Wilayah Persekutuan itu dijangka menghadapi perlawanan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon Gerakan Tanah Air, Abdul Razak Abdul Khalek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram