Noh Omar sah 'gugur' di Tanjong Karang, Khairuddin calon BN di Kuala Nerus


  • Politik
  • Khamis, 03 Nov 2022

Noh Omar sah digugurkan pada PRU15 akan datang. — Bernama

TANDA tanya sama ada penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dikekalkan atau digugurkan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terjawab selepas namanya tiada dalam senarai baki tujuh calon Parlimen yang belum diumumkan.

Tempat Noh Omar diganti dengan Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Yusof.

Senarai itu turut menjawab desas-desus yang mengaitkan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai calon pilihan pucuk pimpinan parti untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Bekas pemimpin PAS itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 selepas menyertai Umno baru-baru ini.

Selain dua calon tersebut, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir turut mengumumkan lima nama yang dimuktamadkan BN untuk bertanding mewakili komponen itu pada PRU15.

1802610

Beliau berkata, penyandang Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi akan kekal bertanding di kawasan itu atas tiket BN pada PRU kali ini.

"Anggota Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), A. Kohilan Pillay akan bertanding di Parlimen Batu, Datuk Chew Yin Keen (Bandar Tun Razak), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Jempol) dan Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, daripada tujuh kawasan itu, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan BN menampilkan dua calon secara direct candidate atas sifat keterbukaan dan perpaduan.

Katanya, dengan pengumuman tersebut, jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh BN bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178.

"BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan, Insya-ALLAH mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram