'Ekonomi, pembangunan lebih penting berbanding lantik 3 TPM'


  • Politik
  • Rabu, 26 Okt 2022

PRU15 menyaksikan pertembungan empat penjuru gabungan parti politik.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini menampilkan persaingan empat penjuru bagi merebut takhta sebagai kerajaan baharu.

Umum mengetahui, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) sudah lama ditubuhkan, namun kewujudan Gerakan Tanah Air (GTA) sudah pasti memberi saingan lebih sengit.

Apatah lagi, GTA dipengerusi oleh pemimpin veteran, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahir dalam selok-belok arena politik tanah air.

Mahu atau tidak, setiap gabungan parti politik harus bersiap siaga dengan manifesto masing-masing bagi mendapatkan sokongan bukan sahaja daripada rakyat, malah pemimpin daripada akar umbi sendiri.

Tengku Zafrul receive the mandate as treasurer of BN SelangorBarisan from chairman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidiand Selangor BN chairman Tan Sri Noh Omar. 31 JULY 2022 — CHAN TAK KONG/The Star/WANI

BN mencadangkan untuk mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Baru-baru ini, BN mengesyorkan agar tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan kedua tertinggi kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jika BN mendominasi kemenangan pada PRU15.

Sementara itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, mereka juga bakal melantik dua Timbalan Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

Setiausaha akhbarnya, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, dua jawatan Timbalan Perdana Menteri – masing-masing satu dari Semenanjung Malaysia, dan Sabah dan Sarawak.

attoorryyy

Ahmad Atory — Agensi

Meskipun menganggap kewujudan dua hingga tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh menyemarakkan semangat perpaduan, namun Profesor Dr Ahmad Atory Hussain menegaskan bahawa ia bukanlah isu penting.

827187

Dunia dijangka akan berdepan dengan masalah inflasi dan ekonomi pada tahun depan.

Sebaliknya, penganalisis politik veteran itu berkata, tindakan pemimpin mengambil kira faktor ekonomi, kemiskinan, pembangunan dan membasmi rasuah adalah lebih kritikal selepas pilihan raya.

"Saya difahamkan seluruh dunia menghadapi masalah inflasi dan ekonomi pada tahun depan.

"Jadi, apa faedahnya menjanjikan perkara ini kerana sudah tentu mereka menggunakan wang banyak. Kalau ekonomi sudah pulih, ia tidak menjadi masalah untuk perpaduan.

"Kalau kita perjuangkan setakat dua jawatan Timbalan Perdana Menteri sahaja, macam mana pula dengan ekonomi rakyat? Bagi saya, buat sementara ini, bagi Sabah dan Sarawak sebagai Menteri Kanan pun sudah memadai," katanya kepada Majoriti.

Mimik politik

Mengulas lanjut, Ahmad Atory menyifatkan bahawa, rancangan untuk mewujudkan dua hingga tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri hanyalah suatu bentuk mimik politik.

Hal ini kerana, katanya, mana-mana parti yang memerintah tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya selagi terdapat keperluan dan cukup peruntukan kewangan.

"Cuma, untuk mewujudkan tiga Timbalan Perdana Menteri ini, mereka perlu mengurus semaksima mungkin penyertaan dari Sabah dan Sarawak.

"Ia juga bertujuan menggalakkan perpaduan nasional, tapi tidaklah begitu signifikan," ujarnya.

Lantikan tiada penyatuan

Screenshot 2022-10-26 145420

Syed Agil — Bernama

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff menganggap bahawa, pelantikan dua hingga tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri seolah-olah tiada penyatuan berbanding lantikan Menteri Kanan.

Ketika ditanya mengenai sama ada lantikan beberapa Timbalan Perdana Menteri merupakan suatu pembaziran, tegas beliau, ia bergantung kepada tugas yang diberi kepada mereka.

"Sekiranya tugas mereka menyamai Menteri Kanan, lebih baik hanya diwujudkan jawatan Menteri Kanan.

"Apa yang lebih penting, kerja kena jalan bukan berasaskan kepada kepentingan politik semata-mata," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram