PARTI Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat malam mengumumkan 72 calon daripada kalangan tokoh profesional dan orang muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November ini.
Perkara itu diumumkan ketika satu majlis yang diadakan di Padang MPAJ Taman Kosas, Ampang yang dihadiri ribuan penyokong dan pucuk pimpinan parti termasuk Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
Pelancaran secara rasmi itu turut dihadiri beberapa ahli majlis kepimpinan tertinggi PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Antara calon yang diumumkan termasuk Amirudin yang bakal bertanding di Parlimen Gombak, sekali gus menentang 'tok guru'nya, Datuk Seri Azmin Ali yang merupakan bekas pemimpin PKR.
Parlimen Pasir Mas, Kelantan pula bakal diwakili calon veteran, Datuk Husam Musa yang sebelum ini pernah bertanding di bawah tiket PAS.
Sementara itu, Rafizi kembali bertanding di Parlimen Pandan dan penyandang Parlimen Pandan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail di Parlimen Ampang.
Pada masa sama, PKR turut mengumumkan seorang tokoh berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), Noraishah Mydin Abdul Aziz yang bakal bertanding di Parlimen Putrajaya.
Selain itu, anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Pasir Salak, Perak yang ketika ini dipegang Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari Umno.
Presiden Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim pula bakal memulakan karier politiknya apbila dicalonkan di Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka.
Dalam masa sama, majlis tersebut turut mengumumkan sebanyak 12 jelajah kempen bakal diadakan di seluruh negara sepanjang tempoh PRU15. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram