Skandal 1MDB: Bekas CEO Astro masih belum pulangkan aset RM44 juta


  • 112
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Rohana yang dikatakan menjalin hubungan dengan Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang RM 44 juta diberikan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc itu.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan yang dikaitkan dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner difahamkan belum menyerahkan semua aset dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, agensi itu sedang memperincikan kertas siasatan membabitkan Rohana dan kini giat mendapatkan semula wang terbabit, lapor Utusan Malaysia.

“Kertas siasatan berkenaan dalam proses untuk diperincikan dan SPRM sedang proses mendapatkan aset-aset tersebut,” katanya.

Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York sebelum ini, Leissner yang juga saksi pendakwa berkata, dia memberi Rohana RM 44 juta dan wanita itu membeli rumah bernilai lebih RM31 juta di Montpelier Street, London, England.

Siasatan ke atas 1MDB, yang dianggap skandal kewangan terbesar di dunia, menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng oleh pelbagai pihak.

Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) itu mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.

Pada April lalu, Rohana yang dikatakan menjalin hubungan dengan Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang RM 44 juta diberikan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rohana Rozhan, 1MDB, Tim Leissner