Rasuah: Syed Saddiq diperintah bela diri


Syed Saddiq (lima dari kiri) ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid menyampaikan keputusan itu pada 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 27 September lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei.

Saksi termasuk ibu bapa Syed Saddiq – Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff – dan Rafiq Hakim (bekas penolong bendahari Bersatu Armada), serta pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Syed Saddiq, 29, didakwa sebagai sayap pemuda Bersatu atau ketua Armada, yang diamanahkan mengawal dananya, bersubahat bersama Rafiq Hakim dengan CBT sebanyak RM1 juta dana milik sayap itu di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk dirinya dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Bhd, Jalan Pandan 3/ 6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 dan 21 April 2018.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebat dan denda, jika didapati bersalah atas kesalahan itu.

Dia juga menghadapi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu dua transaksi RM50,000 setiap satu dipercayai hasil daripada aktiviti haram, daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputranya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Baru, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang itu, jika didapati bersalah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram