Shafee bebas semua tuduhan pengubahan wang haram


Shafee Abdullah dibebaskan daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram.

TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah telah dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Muhammad Jamil Hussin.

Pertuduhan itu berkaitan dana berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang kini dipenjarakan, serta membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib, yang telah dihantar ke akaun CIMB Bank Berhad milik Muhammad Shafee.

Dia didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013, dan satu lagi RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Muhammad Shafee turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata cukai yang tidak betul, yang melanggar perenggan 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013, dan 31 Dis 2014.

Dia didakwa mengetepikan pendapatan RM4.3 juta yang diterima pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta yang diterima pada 17 Februari 2014 dalam penyata cukainya.

Wang itu diterima melalui dua AmIslamic Bank Berhad milik Najib dan dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya (Muhammad Shafee).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN cawangan Jalan Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram