MENAWARKAN konsert dengan harga tiket bermula RM199 hingga RM649 yang menampilkan penyanyi popular seperti Datuk Awie, Ahmad Dhani, Erra Fazira, Ziana Zain dan Ella.
Itu yang dilakukan seorang suspek wanita berusia 48 tahun yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes penipuan penganjuran konsert.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis dibuat Awie dan Erra Fazira pada 25 Oktober lalu.
"Artis lelaki berusia 53 tahun itu telah mendapat maklumat dari rakannya yang memaklumkan terdapat satu hantaran di Facebook yang mempromosikan konsert pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.
"Suspek telah menawarkan penjualan tiket konsert berharga di antara RM199 hingga RM649. Pengadu juga menafikan mendapat tawaran atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohamad Farouk, susulan itu pada 26 Oktober lalu, pihaknya telah menangkap suspek kira-kira pukul 10.40 malam.
Jelasnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau yang mana salah satunya adalah melibatkan kes penipuan.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram