Lelaki mengaku tidak bersalah tawar skim tidak wujud


Shawn Lee Kim Boon didakwa terlibat dalam satu sindiket menipu skim pelaburan ‘Vanguard  Investment’ melalui aplikasi WhatsApp. 

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat atas pertuduhan menipu dengan menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud.

Shawn Lee Kim Boon, 33 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.

Tertuduh didakwa terlibat dalam satu sindiket penipuan dengan memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan ‘Vanguard Investment’ melalui aplikasi WhatsApp.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Nilai lebih kurang pukul 10 malam, 13 November 2021.

Lee dituduh mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Alvin Tan yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

Menurut Tan, selain daripada menyara isteri dan anaknya, tertuduh juga menjaga ibunya berusia 65 tahun yang menghidap strok,” katanya.

Norzaliza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 11 November ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram