Rogol budak 15 tahun di kedai makan Bachok, 8 remaja berdepan hukuman penjara dan sebatan


Lapan remaja lelaki didakwa atas 15 pertuduhan merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, Kelantan, baru-baru ini. — Bernama

LAPAN remaja lelaki didakwa di dua mahkamah berasingan masing masing di Mahkamah Majistret Bachok dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu dengan pertuduhan merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Enam remaja yang berusia 15 tahun, mengaku bersalah manakala dua lagi berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Fauzan Mohd Suhairi dan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol dan melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat, Bachok antara pukul 12.30 tengah malam sehingga 2.30 pagi sejak Ogos hingga September lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Setiap tertuduh didakwa dua hingga tiga pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi dan kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi dua lagi tertuduh berusia 18 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama.

Hakim membenarkan seorang daripada tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi seorang penjamin manakala seorang lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Mahkamah kemudiaanya menetapkan 23 November tarikh sebutan semula kes kepada kedua-dua tertuduh itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram