Makan suap, bekas Hakim Mahkamah Sesyen kena jel, denda RM25,000


Mahkamah memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda sebanyak RM25,000 itu.

SEORANG bekas Hakim Mahkamah Sesyen pada Rabu dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Oktober ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada pukul 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.

Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram