Jumpa rakyat dulu, kemudian Tun M — Anwar


  • Politik
  • Ahad, 23 Okt 2022

Anwar sanggup mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja jika mereka berkongsi matlamat yang sama.

URA-URA yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kerjasama bagi PRU15 adalah tidak benar.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tanpa menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir.

Anwar berkata, beliau sanggup mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja jika mereka berkongsi matlamat yang sama.

"Jika ada keperluan untuk berjumpa saya, saya berada di Pulau Pinang hari ini (Sabtu), di Sabah esok (Ahad) dan mungkin di Sarawak lusa tetapi bagi saya, adalah lebih baik untuk saya melihat rakyat dahulu,” katanya semasa sidang media selepas Makan Malam kutipan dana PKR Pulau Pinang.

Makan malam tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Rempah Setia anjuran majlis pimpinan negeri pada Sabtu.

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata, terdapat banyak mesyuarat yang dihadirinya berkaitan PRU.

Namun Anwar lebih suka pertemuan yang merujuk kepada dasar menolak rasuah dan membantu memperbaiki kehidupan rakyat.

Pada Jumaat, Tun Mahathir menyatakan bahawa beliau dan Anwar boleh bekerjasama untuk mengalahkan pesaing mereka sambil mengimbau PRU 14.

Tun Mahathir menambah bahawa beliau bersedia untuk membuat langkah pertama untuk merealisasikan pertemuan itu.

Pada 2018, Dr Mahathir, yang ketika itu pengerusi Bersatu, bersetuju menyertai Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional bagi PRU14.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri ketujuh di bawah pentadbiran Pakatan selepas kemenangan itu.

Tun Mahathir kemudiannya meletak jawatan pada Mac 2020 berikutan Gerakan Sheraton, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram