Dalang insiden baling botol mercun di majlis anjuran Muda diburu


  • 112
  • Ahad, 23 Okt 2022

Insiden provokasi yang dimuat naik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitternya pada Sabtu.

MAJLIS Malam Mesra Muo anjuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah dewan restoran di Jalan Bakri, Muar, Johor pada Sabtu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan pada Ahad berkata, siasatan terhadap insiden pada kira-kira pukul 9.35 malam itu dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Beliau berkata, kekecohan dipercayai bermula apabila tetamu di sebuah dewan keluar bersemuka dengan sekumpulan kira-kira 30 orang yang memakai pelitup muka sambil menjerit-jerit, yang kemudiannya membawa kepada insiden membaling botol serta mercun.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial berhubung kejadian itu.

Sementara itu Ketua Penerangan Muda Muar, Muhammad Amir Fiqri Mustapha berkata, pihaknya akan terus berkerjasama dengan polis untuk memberi keterangan, sekali gus mencari dalang provokasi berkenaan.

Pada 18 Oktober lepas, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran Muda di Parit Jawa pada 16 Oktober lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

provokasi, kecoh, MUDA, polis, Muar, Raiz Mukhliz