PRU15: Zahid Hamidi nafi spekulasi tidak pertahan kerusi Bagan Datuk


  • Politik
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Zahid berkata, beliau belum terfikir untuk tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi yang mendakwa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, yang disandangnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden UMNO itu berkata, beliau belum terfikir, untuk melakukan perkara seperti yang diperkatakan tersebut.

"Saya tidak tahu di mana punca dan sumber yang menulis begitu, saya fikir eloklah kita tanya kepada orang itu dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian (meninggalkan kerusi Bagan Datuk),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor, Terengganu pada Jumaat .

Zahid berkata, apa yang penting ialah, BN mesti mengetengahkan calon yang mampu memberi kemenangan untuk pembentukan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan memuktamadkan senarai akhir calon yang akan bertanding pada PRU15 ini, antara tiga hingga lima hari sebelum hari penamaan calon 5 November.

Beliau juga berkata, memandangkan BN akan mengemukakan 70 peratus calon baharu pada pilihan raya ini, beliau bersama pucuk pimpinan BN mengharapkan muka lama yang tidak terpilih kali ini akan menjadi mentor kepada calon baharu.

Terdahulu dalam ucapannya pada program tersebut, Ahmad Zahid berkata, meskipun BN Terengganu menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi parlimen, namun pimpinan di peringkat pusat mahu jumlah kemenangan lebih daripada itu.

Katanya perkara itu tidak mustahil, memandangkan BN sebelum ini pernah berjaya menakluk Terengganu dan seterusnya berjaya menjadi kerajaan negeri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmad Zahid, BN, jentera, PRU15, Terengganu, spekulasi