Umno yakin mampu rampas 'hot seat', Port Dickson antara 3 kerusi Parlimen untuk KJ


  • Politik
  • Rabu, 19 Okt 2022

Khairy dilihat sebagai calon yang sesuai untuk merampas kembali tiga kerusi itu di negeri berkenaan.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin boleh diletakkan di salah satu daripada tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson, Kuala Pilah atau Tampin.

Menurut laporan Berita Harian, Khairy dilihat sebagai calon yang sesuai untuk merampas kembali tiga kerusi itu, yang mana beberapa tahun sebelum ini sudah tidak disandang Umno.

Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, tiada bantahan terhadap pencalonan Khairy untuk kawasan itu sekiranya pucuk pimpinan Barisan Nasional memutuskan meletakkannya di situ.

“Ia bergantung kepada kepimpinan Barisan untuk meletakkan Khairy di kerusi itu (Port Dickson) kerana apa yang penting kita menang.

“Matlamat kami adalah untuk merampas kembali Port Dickson yang telah lama dipegang oleh Pembangkang. Kami terbuka, tetapi perlu diingat bahawa Khairy adalah aset kepada parti dan kerusi ini tidak selamat,” tambahnya.

Mohd Faizal berkata, walaupun bukan mudah untuk memenangi kerusi Port Dickson yang kini disandang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berharap Umno diberi peluang bertanding di kerusi itu.

“Ada peluang menang jika ia ditandingi oleh Umno,” tambah Mohd Faizal.

Dalam laporan itu juga menyatakan juga terdapat spekulasi yang hangat di kalangan ahli Umno Negeri Sembilan untuk meletakkan Khairy bertanding di Kuala Pilah kerana ia dilihat sebagai kerusi paling sesuai untuk bekas ketua pemuda Umno itu.

Memetik sumber Umno, dikatakan Khairy mungkin akan diturunkan di Kuala Pilah kerana ia adalah sebahagian daripada strategi parti itu untuk merampas kembali kerusi itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dengan reputasi dan perwatakannya, ramai ahli parti yakin Khairy boleh menang di kerusi ini (Kuala Pilah) pada Pilihan Raya Umum ke-15,” kata sumber itu.

Sumber Umno itu juga berkata, cadangan supaya Khairy diletakkan di Kuala Pilah turut dibangkitkan semasa mesyuarat bahagian parti baru-baru ini.

“Kita akan tunggu keputusan pimpinan Barisan, sama ada Khairy akan bertanding di Kuala Pilah atau sebaliknya,” kata sumber itu ringkas.

Untuk rekod, Kuala Pilah kini disandang oleh Datuk Eddin Syazlee Shith dari Bersatu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir juga baru-baru ini berkata, Khairy akan diturunkan di Tampin, yang dimenangi oleh Datuk Dr Hasan Bahrom dari Parti Amanah Negara.

“Parti tidak akan meminggirkan beliau (Khairy). Di Negeri Sembilan, kerusi Parlimen yang Umno kalah, mesti dirampas semula,” kata Mohd Zaidy.

Pada 16 Oktober lepas, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Rembau bahawa parti itu akan mencari kerusi yang sesuai untuk Khairy bertanding pada PRU15.

Pada majlis sama, Khairy juga berkata, beliau telah memberikan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad untuk bertanding pada PRU15. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram