TIDAK menyangka nama dipetik oleh Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan sebagai calon Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pngarah dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan ia sebagai satu penghargaan.
Bagaimanapun, beliau yang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mahu masyarakat tahu yang keputusan itu masih belum dimuktamadkan.
“Saya tak pandai nak ‘jual diri’, apatah pula nak melobi jadi calon”.
“Tapi kalau orang nampak kerja saya bagus dan mahu ‘mengangkat’ nama saya, saya tiada masalah dan jika orang anggap kerja saya tak bagus dan tidak layak, saya juga tiada masalah dan akan teruskan bekerja seperti biasa.
“Lagi pun untuk mengangkat nama sebagai calon, bukan hak saya. Itu hak ketua GTA negeri atau Pengerusi Penaja GTA dan jika semua baca kenyataan Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, dia menyebut, mencadangkan nama saya, bukannya saya sudah pasti menjadi calon GTA,” katanya pada Selasa.
Beliau menjelaskan tidak akan kecewa sekiranya pada saat akhir namanya tidak diangkat sebagai calon kerana ia adalah keputusan pucuk pimpinan.
Beliau juga tidak pernah meletakkan sasaran untuk menjadi wakil rakyat tetapi tidak menolak jika ada yang memberi peluang.
“Dari dulu lagi falsafah saya biar kerja berbicara kerana saya berfikir sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya orang politik. Saya hanya buat kerja, biar orang menilainya.
“Tapi bila sekarang tiba-tiba nama saya dipetik (sebagai calon), secara jujurnya saya terkejut tetapi gembira, teruja dan terharu kerana ia bermakna orang lain sudah nampak kerja saya,” katanya.
Ditanya kenapa beliau tidak menyertai mana-mana parti selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahmad Idham berkata, dia kini lebih selesa bergerak melalui NGO.
“Bersatu merupakan percubaan pertama saya menyertai politik dengan harapan ia dapat menjadi ‘platform’ untuk menguatkan NGO yang saya tubuhkan kerana saya nak jadikannya sebagai satu agenda nasional.
“Saya ingat melalui parti itu ia lebih mudah kerana parti ada jenteranya tapi bila saya berada dalam parti, saya dapati lain pula jadinya dan sebab itu saya buat keputusan untuk keluar Bersatu pada Julai lalu," katanya.
Jelasnya, ketika gerakan NGOnya baru bermula, beliau tertarik dengan GTA yang merupakan sebuah gerakan yang menggabungkan NGO dan golongan profesional serta individu yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan itu berkata, beliau menyertai GTA Ogos lalu berikutan sokongan yang diberi terhadap NGO yang diasaskannya.
“Dalam GTA ini memang ada gabungan empat parti tapi ada komponen NGO dan sebab itu saya tak rasa perlu menyertai parti politik.
“Ia adalah gerakan rakyat untuk rakyat dan jika tiba-tiba saya menyertai mana-mana parti, ia menyebabkan keistimewaan GTA itu hilang sedangkan GTA ini adalah salah satu pilihan untuk rakyat memilih pada PRU15.
“Cumanya disebabkan GTA ini belum diluluskan pendaftarannya, kita menggunakan logo pejuang pada PRU15," katanya.
Selain itu Ahmad Idham berkata, rakyat hari ini sudah muak dengan parti politik yang lebih banyak berpolitik semata-mata.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa imbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, nama Ahmad Idham telah dibawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA negeri menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram