PRU15: Pertembungan Hamid Bador-Tok Mat di kerusi panas Rembau?


  • Politik
  • Selasa, 18 Okt 2022

Hamid yang mewakili GTA akan bertanding di Negeri Sembilan pada PRU15. — Agensi

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau mungkin berdepan dengan calon yang lebih hebat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dijangka dinamakan sebagai calon di kawasan tersebut.

Hamid adalah antara calon berpotensi mewakili Gerakan Tanah Air (GTA), yang akan bertanding di semua lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.

Parlimen itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipegang Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy pula difahamkan akan bertanding di kawasan Parlimen lain.

Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim berkata, gabungan itu akan menyenarai pendek 20 calon berpotensi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri adalah antara yang tersenarai di Port Dickson.

"Kami akan memilih senarai nama yang boleh dipercayai.

"Semua pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah GTA sudah mengemukakan nama dan kami akan meneliti mereka sebelum membuat keputusan," katanya pada Isnin.

GTA terdiri daripada empat parti politik iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Ia ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos dan turut merangkumi NGO, ahli akademik dan individu.

Gabungan itu berhasrat untuk bertanding lebih 120 kerusi di semua negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu di bawah panji Pejuang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram