Tak sampai 24 jam Parlimen bubar, bahang PRU15 sudah panas di Johor


  • 112
  • Selasa, 11 Okt 2022

Antara kain rentang berbaur provokasi yang dikesan di Kota Tinggi pada Isnin.

KURANG 24 jam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin, suhu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah terasa bahangnya.

Ini susulan penemuan enam kain rentang berbentuk provokasi memaparkan ketidakpuasan berhubung isu politik dan calon PRU15 yang digantung di enam lokasi awam di sekitar daerah Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi telah berjaya mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang itu pada Isnin.

"IPD Kota Tinggi memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang ingin menggantung sebarang kain rentang atau sebagainya perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Daerah Kota Tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mana-mana individu atau kumpulan tidak mencetuskan provokasi yang akan mengganggu gugat keamanan daerah Kota Tinggi.

"Polis boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram