Dua anak tak tersenarai, Najib antara calon Parlimen Pekan


  • Politik
  • Khamis, 13 Okt 2022

Selain Najib, terdapat empat lagi calon yang disenaraikan bagi mempertahankan kerusi parlimen Pekan pada PRU15.

UMNO Pekan tidak berhasrat untuk meletakkan anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nizar Najib atau anak perempuannya, Nooryana Najwa di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Timbalan Ketua Umno Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly.

Menurutnya, sebagai Ketua Pemuda Pekan, Nizar digalakkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Nooryana pula tidak aktif berpolitik jadi mungkin belum masanya namanya dicalonkan," katanya.

Malah, Zamri turut menyatakan bahawa Najib merupakan antara lima calon yang disenaraikan Umno Pekan untuk mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU15.

Zamri berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bekas pemimpin itu masih berpeluang bertanding sekiranya beliau berjaya dalam permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu

Menurutnya, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada beliau dan ditakdirkan bebas sebelum penamaan calon, beliau masih layak bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen itu.

"Jadi tiada masalah bagi Umno Pekan untuk menyenaraikan nama beliau (Najib) dalam senarai calon untuk PRU15 ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Selain Najib, empat lagi calon yang disenaraikan tidak didedahkan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos lalu.

Keputusan itu menjadikan beliau sebagai bekas Perdana Menteri pertama dihukum penjara. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram