Asalkan sehaluan lawan Umno dan BN, PH tiada masalah jalin kerjasama — Anwar Ibrahim


  • Politik
  • Khamis, 13 Okt 2022

Anwar sedia untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin. — Bernama

PAKATAN Harapan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia untuk bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) asalkan bertujuan untuk melawan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Agenda kami adalah reform, melawan gejala rasuah. Sesiapa yang sehaluan dengan prinsip ini, ruang (untuk kerjasama) sentiasa terbuka.

"Come together itu lunak bunyinya, tetapi bersatu untuk apa? Ada yang nak bersatu untuk rompak, seperti persatuan 40 penyamun dan sebagainya. Bersatu itu harus bersandarkan prinsip jelas.

"Pertamanya tatakelola yang baik, keduanya menolak rasuah, dan ketiga, tidak setuju dengan kaedah atau dasar perkauman atau kefahaman agama cara fanatik, yang menindakkan kehadiran yang lain. Kalau setuju silakan. Ini bukan monopoli mana-mana parti.

"Sebab itu saya agak apa-apa gabungan mesti ada prinsip. Kita yang berteraskan kepada prinsip haruskan jelas dengan hal itu,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Aplikasi ADIL di Ibu Pejabat PKR, Kuala Lumpur yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Khamis.

Untuk rekod, hubungan parti dalam PH mula retak selepas berlaku peristiwa 'Langkah Sheraton' pada 2020.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Anwar menjelaskan, perkara itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang harus disepakati bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram