Treler sarat muatan serpihan kayu terbalik, lebuh raya sesak lebih 4km di Ipoh


  • Massa
  • Rabu, 12 Okt 2022

Tular gambar menunjukkan lori berkenaan terbalik dengan serpihan papan berselerak atas jalan raya sehingga menyebabkan laluan terhalang.

SEBUAH treler membawa muatan kayu terbalik di KM265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan Ipoh, Perak pada Rabu.

Menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), insiden itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh 4.2 kilometer sehingga menyebabkan kesemua lorong terhalang.

"Semua lorong masih terhalang, trafik terhenti dan sesak sebelum masuk ke Terowong Menora ke Ipoh Utara.

"Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan melalui susur keluar ke Kuala Kangsar," menurut LLM.

Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian.

Tular beberapa gambar dan video menunjukkan lori berkenaan terbalik dengan serpihan papan berselerak atas jalan raya sehingga menyebabkan laluan terhalang.

Pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi video dan gambar mengenai kejadian tersebut menerusi media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Twitter, treler, terbalik, LLM, PLUS, sesak, media sosial