Siasat nahas jalan raya di Tambun tapi terjumpa mayat reput


  • 112
  • Rabu, 12 Okt 2022

Polis menemui mayat hampir reput dipercayai wanita di persimpangan lampu isyarat Jalan Tambun pada Rabu.

POLIS menjumpai satu mayat reput ketika menjalankan siasatan mengenai kemalangan jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun, Perak pada Rabu.

Mayat itu ditemui hanya kira-kira dua meter dari kereta jenis Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang.

Dalam kejadian sekitar pukul 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki dari arah Tanjung Rambutan itu dikatakan cuba mengelak sesuatu sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan.

Polis yang menjalankan siasatan kemalangan itu terhidu bau busuk dan menemui mayat berkenaan sebelum melaporkannya di balai polis berhampiran.

Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan kereta, mayat reput, Ipoh, Perak, Polis